Di sesetengah negara, putik-putik demokrasi akan mula mengukuh, manakala di negara-negara lain pula usaha ke arah sistem tersebut akan dihalang para pemimpin autokratiknya. Negara-negara Afrika Utara seperti Tunisia, Mesir dan Libya dijangka paling berpotensi mencetuskan perubahan itu. Tunisia, khususnya, memberikan harapan terbaik di kalangan negara Dunia Arab, dengan adanya usaha parlimen negara itu mengadakan pilihan raya bebas melalui perlembagaan barunya.
Usaha tersebut boleh mempengaruhi Libya, jiran terdekatnya. Walaupun rejim yang menggantikan mantan diktator Muammar Gaddafi kelihatan agak berpecah belah ketika ini, ia dijangka dapat mempertahankan usaha penyatuan negara itu bagi mewujudkan demokrasi.
Mesir, yang ketika ini sekalisekala dilanda pergolakan, dijangka terus menjadi tumpuan Dunia Arab. Pihak tenteranya dijangka berundur daripada arena politik dan memberikan kebebasan kepada rakyat negara itu untuk memilih pemimpin mereka pada pilihan raya presiden Mac ini. Parti Persaudaraan Islam dijangka terus mengukuhkan kedudukannya dengan fahaman sederhana dan bersedia berkongsi kuasa dengan parti-parti lebih sekular.
Yaman, bagaimanapun, dijangka terus bergolak dan puak-puaknya mudah berpecah belah. Ketiadaan seorang pemimpin yang dipersetujui ramai akan menyukarkan peralihan ke arah demokrasi dan pilihan raya bebas di negara itu.
Suasana kacau-bilau di Syria dijangka berterusan buat sementara waktu dan ia mengancam keutuhan dan kestabilan negara itu, dengan pihak Liga Arab menghadapi kesukaran melenturkan Presiden Bashar al-Assad.
Palestin dijangka memilih presiden dan anggota parlimennya dalam usaha menyelesaikan konflik antara Hamas dengan Fatah, yang telah memecahbelahkan rakyatnya, sedang ia terus berusaha menjadi sebuah negara rasmi.
Iran pula dijangka terus menjadi tumpuan Amerika Syarikat, bukan sahaja disebabkan program nuklearnya, malah kerana pengaruhnya ke atas sekutu-sekutu rapatnya di Timur Tengah.
Negara paling berpengaruh di Dunia Arab, Arab Saudi, dijangka turut merasakan tempias Arab Spring tetapi akan cuba mengekalkan kerajaan berajanya. Bagaimanapun, ia diramal berusaha membuat perubahan dalam lingkungan terhad kepada sistem berajanya itu.
Dalam apa sahaja suasana yang bakal dialami negara-negara Arab, kita akan melihat peranan wanita yang semakin menyerlah di rantau itu tahun depan.
SAMBUNG BACAAN............
No comments:
Post a Comment