Jana Pendapatan

Saturday 24 August 2013

Dunia Arab terus alami perubahan dan pergolakan


ANGIN perubahan yang menderu sejak awal tahun ini dijangka terus membawa ‘perubahan iklim’ dalam arena politik dan sosial Dunia Arab. Fenomena Arab Spring atau gerakan pembaharuan dan pembebasan yang membadai tanah- tanah Arab di rantau Teluk dan Afrika Utara diharap dapat membawa perubahan lebih baik tahun depan. Ini, walaupun ada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa ia bakal ‘meributkan’ lagi negara-negara yang dilanda fenomena itu buat beberapa ketika.
Di sesetengah negara, putik-putik demokrasi akan mula mengukuh, manakala di negara-negara lain pula usaha ke arah sistem tersebut akan dihalang para pemimpin autokratiknya. Negara-negara Afrika Utara seperti Tunisia, Mesir dan Libya dijangka paling berpotensi mencetuskan perubahan itu. Tunisia, khususnya, memberikan harapan terbaik di kalangan negara Dunia Arab, dengan adanya usaha parlimen negara itu mengadakan pilihan raya bebas melalui perlembagaan barunya.
Usaha tersebut boleh mempengaruhi Libya, jiran terdekatnya. Walaupun rejim yang menggantikan mantan diktator Muammar Gaddafi kelihatan agak berpecah belah ketika ini, ia dijangka dapat mempertahankan usaha penyatuan negara itu bagi mewujudkan demokrasi.
Mesir, yang ketika ini sekalisekala dilanda pergolakan, dijangka terus menjadi tumpuan Dunia Arab. Pihak tenteranya dijangka berundur daripada arena politik dan memberikan kebebasan kepada rakyat negara itu untuk memilih pemimpin mereka pada pilihan raya presiden Mac ini. Parti Persaudaraan Islam dijangka terus mengukuhkan kedudukannya dengan fahaman sederhana dan bersedia berkongsi kuasa dengan parti-parti lebih sekular.
Yaman, bagaimanapun, dijangka terus bergolak dan puak-puaknya mudah berpecah belah. Ketiadaan seorang pemimpin yang dipersetujui ramai akan menyukarkan peralihan ke arah demokrasi dan pilihan raya bebas di negara itu.
Suasana kacau-bilau di Syria dijangka berterusan buat sementara waktu dan ia mengancam keutuhan dan kestabilan negara itu, dengan pihak Liga Arab menghadapi kesukaran melenturkan Presiden Bashar al-Assad.
Palestin dijangka memilih presiden dan anggota parlimennya dalam usaha menyelesaikan konflik antara Hamas dengan Fatah, yang telah memecahbelahkan rakyatnya, sedang ia terus berusaha menjadi sebuah negara rasmi.
Iran pula dijangka terus menjadi tumpuan Amerika Syarikat, bukan sahaja disebabkan program nuklearnya, malah kerana pengaruhnya ke atas sekutu-sekutu rapatnya di Timur Tengah.
Negara paling berpengaruh di Dunia Arab, Arab Saudi, dijangka turut merasakan tempias Arab Spring tetapi akan cuba mengekalkan kerajaan berajanya. Bagaimanapun, ia diramal berusaha membuat perubahan dalam lingkungan terhad kepada sistem berajanya itu.
Dalam apa sahaja suasana yang bakal dialami negara-negara Arab, kita akan melihat peranan wanita yang semakin menyerlah di rantau itu tahun depan.
SAMBUNG BACAAN............

Gempak: Nasdaq lumpuh


Foto BLOOMBERG

KEGIATAN dagangan ribuan saham di Amerika Syarikat tersekat semalam selepas satu masalah teknologi berkaitan dengan sofwe komputer, menyebabkan kegiatan dagangan di Bursa Saham Nasdaq (gambar) terpaksa digantung.
Nasdaq menyambung semula kegiatan dagangan selepas digantung selama lebih tiga jam yang menjejas saham-saham syarikat seperti Apple, Google, Microsoft dan 3,000 syarikat lain.
Kejadian itu merupakan penggantungan kegiatan dagangan yang paling lama sejak akhir-akhir ini. Sambung...

Friday 16 August 2013

SINGAPURA: MFA gesa ambil langkah keselamatan

KEMENTERIAN Ehwal Luar (MFA) menasihatkan warga setempat menangguhkan rancangan ke Mesir kecuali jika ada urusan penting, setelah presiden dan pemerintah Mesir mengisytiharkan perintah darurat.
Dalam kenyataannya semalam, MFA juga menggesa warga Singapura di Mesir segera mendaftarkan diri dengan MFA di laman web http://eregister.mfa.gov.sg/.
Menurut MFA, Kedutaan Singapura di Kahirah juga akan terus berhubungan rapat dengan warga Singapura di Mesir, khususnya para pelajar.
"Kami juga sedang bekerja rapat dengan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) bagi memberi bantuan kepada pelajar Singapura yang terjejas," kata MFA.
Presiden dan pemerintah Mesir telah menetapkan perintah berkurung antara 7 malam dengan 6 pagi (waktu Mesir) di 14 daerah selama sebulan mulai 14 Ogos.
Daerah yang dikenakan perintah berkurung itu adalah Kahirah, Giza, Iskandariah, Qalioubiya, Suez, Beheira, Fayyoum, Beni Suef, Minya, Assuit, Sohag, Ismailia, Sinai Utara dan Sinai Selatan.
Dengan keadaan di Mesir sekarang, MFA turut mengingatkan warga Singapura di Mesir agar mematuhi perintah berkurung itu serta tidak keluar rumah dan mengambil langkah berjaga-jaga. Ini termasuk memantau berita terkini, mengikut arahan pihak berkuasa dan mengelak ke tempat berlakunya kekecohan.
Jurucakap MFA berkata, Singapura amat prihatin terhadap keadaan di Mesir yang telah menyebabkan jumlah kematian dan kecederaan yang tinggi.
"Kami menggesa semua pihak agar mengawal diri dan menghentikan keganasan itu daripada berterusan.
"Ia lebih kritikal sekarang untuk semua pihak bekerjasama bagi mencari penyelesaian aman demi semua rakyat Mesir," kata jurucakap itu.

Thursday 15 August 2013

Jangan polemik isu surau di Sedili Besar - MB Johor

KLUANG - Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini meminta semua pihak supaya tidak memperdebatkan keputusan merobohkan surau di sebuah resort di Sedili Besar, dekat Kota Tinggi yang digunakan untuk upacara keagamaan Buddha.
Mohamed Khaled berkata, tidak perlu timbul sebarang polemik berhubung isu berkenaan kerana kerajaan negeri menuruti keputusan yang dititahkan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Sambung...

Kapal selam India meletup...18 terperangkap


LIHAT DARI JAUH: Lelaki ini melihat dari jauh kejadian letupan kapal selam tentera laut India, INS Sindhurakshak (gambar bawah), yang kemudian terbakar sebelum tenggelam bersama 18 kelasinya di sebuah limbungan kapal di Mumbai, awal semalam. - Foto REUTERS


MUMBAI: Kesemua 18 kelasi terperangkap apabila sebuah kapal selam dengan kuasa penggerak konvensional, INS Sindhurakshak, yang sedang berlabuh di perairan bandar Mumbai meletup pada awal pagi semalam.
"Ada beberapa orang yang terperangkap dalam kapal, kami sedang dalam proses untuk cuba menyelamatkan mereka," kata seorang jurucakap tentera laut, Encik P.V.S. Satish.
"Kami tidak akan berputus asa sehingga kami menemui mereka," tambahnya.
Bagaimanapun, Menteri Pertahanan India, Encik A.K. Antony, berkata anak kapal dalam INS Sindhurakshak maut tetapi beliau tidak memberikan sebarang butir.
Letupan yang berlaku sejurus selepas tengah malam itu mungkin berpunca daripada satu kemalangan tetapi siasatan sedang dijalankan bagi menentukan puncanya, kata Encik Satish.
Kemalangan itu berlaku pada minggu yang sama India melancarkan pembinaan sebuah kapal pengangkut pesawat buatannya sendiri yang dijadualkan siap pada 2017, dan mengumumkan bahawa reaktor yang dipasang pada sebuah kapal selam pertama buatan India kini sudah boleh digunakan.
"Insiden Sindhurakshak hari ini (semalam) mungkin nahas paling teruk yang pernah dialami sebuah kapal selam tentera laut India," kata pakar pertahanan dan bekas laksamana pertama, Encik Uday Bhaskar, sambil menambah bahawa ia "telah sedikit sebanyak menjejas" pencapaian terbaru pihak tentera laut India itu.
Tentera laut India mengalami jumlah kemalangan lebih rendah berbanding dengan tentera udaranya, yang pesawat pejuang MiG-21 buatan Russia telah beberapa kali mengalami kemalangan udara.
Bagaimanapun, 14 kapal selam negara itu amat memerlukan pemodenan, dan kapal selam INS Sindhurakshak baru sahaja dihantar kembali ke India setelah menjalani kerja-kerja naik taraf selama dua setengah tahun di limbungan kapal Russia.
Gambar yang diedarkan para pengguna media sosial kelihatan menunjukkan satu bola api besar di atas kawasan limbungan di mana kapal selam itu dilabuhkan.
Kapal selam itu, yang beroperasi sepenuhnya lengkap dengan senjata, separuh tenggelam selepas letupan itu.
Tiga orang yang dekat dengan kapal selam tersebut semasa berlakunya letupan itu cedera dan sedang dirawat di hospital, kata Encik Satish.

Thursday 8 August 2013

Tidak perlu yakinkan Rooney

wayne rooney face happy sad
STOCKHOLM: Pengurus Manchester United, David Moyes, kelmarin berkata beliau tidak perlu berbuat apa-apa untuk meyakinkan penyerang Wayne Rooney supaya kekal di Old Trafford bersama juara Liga Perdana England itu.
Ketika diminta mengulas mengenai reaksi Rooney menyusuli keputusan United menolak bidaan kedua daripada Chelsea bernilai £25 juta ($49 juta), Moyes dengan ringkas menjawab: "Saya tidak tahu. Saya belum bertanyakan kepadanya."
Apabila didesak supaya membuat ulasan mengenai sama ada beliau perlu meyakinkan Rooney supaya kekal di Old Trafford, Moyes menambah:
"Anda tidak perlu meyakinkan sesiapa sahaja supaya bermain untuk Manchester United."
Moyes berkata demikian kepada pemberita selepas pasukannya hanya mampu mencatat keputusan seri 1-1 dengan AIK Stockholm dalam satu perlawanan persahabatan kelmarin.
Bagaimanapun, laporan mengenai kemungkinan Rooney meninggalkan United membimbangkan pemain midfield veteran, Darren Fletcher.
Sedang United bersiap menerima bidaan ketiga daripada Chelsea, dengan pengurus barunya, Jose Mouringo, kelihatan bersungguh-sungguh mahu mendapatkan penyerang antarabangsa England itu, Fletcher mengakui bahawa beliau tidak suka melihat Rooney pergi.
"Anda berasa bimbang beliau akan meninggalkan kelab ini kerana beliau pemain bola sepak yang hebat," ujarnya.

Busuk.com

Ciptaanku